Salam Sejahtera. Terlebih dahulu, saya berasa amat berbesar hati kerana berkesempatan menyampaikan sepatah dua kata sempena Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-62. Pada tanggal 31 Ogos saban tahun, negara kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaannya. Pada tahun ini, negara kita telah mencecah 62 tahun Merdeka. Bagi kita khasnya di Sabah dan Sarawak, selain daripada 31 Ogos, kita turut memeriahkan tarikh 16 September setiap tahun sebagai tarikh keramat yang membebaskan dan memerdekakan negeri kita daripada penjajah melalui penubuhan Malaysia.
Sebagai generasi Y pada hari ini, saya percaya pelajar semua masih kurang arif mengenai erti kemerdekaan sebenar. Erti kemerdekaan bukan sekadar bebas dari penjajahan secara fizikal tetapi kita harus berwaspada dan menghindari penjajahan mental melalui pengaruh-pengaruh negatif serta amalan-amalan yang boleh merosakkan negara kita. Dengan kepesatan teknologi, media sosial seperti e-mel, telegram, whatsapps, we chat, instagram dan lain-lain, memudahkan penjajahan mental diterap walaupun dari lokasi yang jauh. Marilah kita terus menanam semangat merdeka melalui cara pemikiran minda kelas pertama sekaligus mempertahan kemerdekaan yang telah dicapai ini.
Pada tahun ini, logo sambutan Hari Kebangsaan dikekalkan seperti tahun lalu dengan tambahan tema baharu iaitu Malaysia Bersih yang juga merupakan judul lagu utama sambutan pada tahun ini. Tema “Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih” juga dilihat menepati usaha kerajaan yang mahu memberi penekanan kepada rakyat Malaysia bahawa bukan mudah untuk mencapai kemerdekaan selain memastikan semangat bersatu padu serta muafakat dicapai demi kemakmuran Negara. Selain menyemarakkan semangat patriotisme serta memperluas dan memperkukuh semangat kekitaan, “Sayangi Malaysiaku” juga seiring dengan perpaduan serta kesepakatan yang menjadi penggerak kepada agenda memperkasakan integrasi nasional dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat dan kaum di Malaysia.
Matlamat “Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih” adalah mengenepikan perbezaan pandangan mahupun fahaman politik serta membentuk jati diri rakyat dalam meraikan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini. Sebagai Generasi Y dan pelajar sekolah, khasnya Lasallian yang diberi peluang belajar dengan infrastruktur yang lengkap, seharusnya bersyukur dan berusaha gigih untuk mencapai cita-cita sendiri dan keluarga. Hayati dan terjemahkan “Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih” dalam kehidupan seharian kita.
Saya berharap sambutan bulan Kebangsaan dapat diteruskan dan semua aktiviti dapat dijalankan dengan baik dan sempurna. Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan syabas dan tahniah kepada ahli-ahli jawatankuasa, guru-guru dan pelajar-pelajar yang menjayakan pelancaran Bulan Gema Merdeka SM La Salle 2019. Saya menyeru agar kita sama-sama menyemarakkan bulan ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah termasuk di rumah kita sendiri.
Sekian, terima kasih. “Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih”.
Mary Macdalena A. Komuji
Pengetua Cemerlang
SM La Salle, Kota Kinabalu