MAJLIS PERSARAAN TUAN SUNDRARAJU A/L SUBRAMANIAM

“BAKTI DISANJUNG BUDI DIJUNJUNG”

Majlis Persaraan Tuan Sundraraju a/l Subramaniam merupakan majlis khusus yang diadakan sempena meraikan persaraan Tuan Sundra di sekolah ini sebagai guru dan pendidik. Majlis Persaraan Tuan Sundra ini telah diadakan bagi menghargai sumbangan dan bakti yang dicurahkan oleh beliau selama 18 tahun bertugas di SM La Salle mulai 2005. Di sekolah ini, beliau telah diamanahkan untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani. Selain itu, beliau merupakan guru disiplin sekolah dan turut aktif dalam membimbing pasukan Ragbi sekolah yang telah melakar beberapa kecemerlangan sehingga ke peringkat kebangsaan. Beliau sangat dihormati dan telah menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh dalam mendidik anak-anak bangsa

Tepat jam 7.40 pagi, konvoi motosikal yang diketuai oleh En. Chua Chun Fah dan Ustaz Osman memulakan perjalanan dari kampus senior ke kampus junior. Ketibaan Tuan Sundra dengan kereta klasik yang dipandu oleh En. Jong Chee Ming diraikan dengan sambutan meriah oleh perbarisan pelajar Parlimen, Ketua-ketua kelas, pengawas sekolah dan lambaian guru-guru dari perkarangan luar Dewan SAC. Kemudian, Tuan Sundra disambut dan diiringi oleh Tuan Vijaya Pengetua SM La Salle dan Pn. Cheryl Adriano selaku Pengarah Majlis Persaraan ke Dewan SAC.

Majlis Persaraan ini telah diadakan pada 21hb Julai 2023 di Dewan SAC SM La Salle yang turut sama dihadiri oleh Tuan Vijaya Kumar a/l Arumugam selaku Pengetua sekolah, Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Victoria Catherine Kongi, Ketua-ketua Bidang, guru-guru dan para pelajar. Majlis “Persaraan Bakti Disanjung Budi Dijunjung” turut menerima tetamu jemputan iaitu En. Adrian Alang selaku wakil PIBG SM La Salle dan En. Safri Jefri Pengetua SMK Takis, Papar.

Setibanya di Dewan SAC, Tuan Vijaya telah menyarungkan selempang kepada Yang Diraikan Tuan Sundraraju. Majlis Persaraan disemarakkan lagi dengan tarian sambut tamu oleh pelajar di bawah bimbingan Pn. Bernadette dan Pn. Patricia. Majlis diteruskan dengan penyerahan bola Ragbi oleh Tuan Sundra kepada En. Jessie sebagai simbolik Majlis Persaraan dan turut dimeriahkan dengan persembahan ‘Haka’ dari pasukan ragbi sekolah

Tuan Vijaya Kumar a/l Arumugam selaku Pengetua SM La Salle dijemput bagi memberikan ucapan alu-aluan. Acara majlis diteruskan dengan menjemput seorang wakil pelajar untuk menyampaikan ucapan sempena Majlis Persaraan Tuan Sundra. Selain itu, sebuah persembahan drama pendek oleh Pasukan Drama Bahasa Inggeris di bawah bimbingan Pn. Hilda turut menghiburkan hadirin pada hari tersebut. Majlis diserikan lagi dengan tayangan Montaj Penghargaan yang disediakan oleh Pn. Noridayu dan Pn. Intan.

Seterusnya,Tuan Sundra dijemput bagi memberikan ucapan dan peluang terakhir kepada beliau untuk menyampaikan sepatah dua kata. Sebagai tanda terima kasih dan penghargaan terhadap bakti dan jasa Tuan Sundra, acara penyampaian hadiah dari Pengetua, MPS, wakil bidang-bidang dan wakil pelajar diberikan kepada beliau. Pada penghujung majlis, Pn, Aznelan telah memaparkan sebuah video ucapan penghargaan yang didedikasikan khas buat Tuan Sundra. Majlis Persaraan ini diakhiri dengan acara pemotongan kek hari jadi Tuan Sundra dan nyanyian lagu sekolah dan ‘Auld Lang Syne’.

Penyampaian hadiah

Kemudian, Tuan Sundra dan semua jemputan menjamu selera dengan juadah yang disediakan. Juadah pada hari itu ialah nasi beriani, kari ayam, acar timun, kuih-muih dan jus guava. Sambil menjamu selera, mereka dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh guru-guru. Tuan Sundra turut berkesempatan menitipkan kata-kata semangat supaya warga La Salle terus menjalankan tugas dan khidmat dengan gigih.

Selepas jamuan, para guru beratur panjang di sepanjang laluan luar bilik guru bagi mengiringi perjalanan Tuan Sundra ke pejabat. Kemudian, Tuan Sundra menyempurnakan ‘Punch Out’ terakhir sebagai kakitangan SM La Salle. Suasana semakin sayu apabila Tuan Sundra masuk ke kereta sambil melambai-lambaikan tangannya sebelum meninggalkan kawasan sekolah.

Waktu terasa cepat berlalu. Tiada kata secantik bahasa untuk menggambarkan beratnya hati melepaskan pergi. Kami seluruh warga La Salle mendoakan semoga Cikgu Sundra akan sentiasa sihat dan menikmati hari-hari bahagia bersama keluarga tercinta. Selamat bersara Cikgu Sundra. Segala kenangan akan terpahat menjadi memori sepanjang zaman.

Disediakan oleh,

ADELINE JOPRINE

Setiausaha Majlis Persaraan Tuan Sundra

search previous next tag category expand menu location phone mail time cart zoom edit close